KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan pihaknya dijadikan sebagai alat bagi menutup mulut pengkritik kerajaan.
Sebaliknya, MCMC berkata, 72 peratus permintaan kepada platform media sosial untuk disekat kandungannya, adalah yang berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan.
Katanya, sehingga 3 Jun lalu, 53 peratus permintaan sekatan kandungan dalam talian yang dibuatnya merentasi semua platform adalah berkaitan perjudian dalam talian.
“Selain itu, 19 peratus membabitkan penipuan dalam talian, 15 peratus dikenal pasti sebagai berita palsu, enam peratus berkaitan dengan kaum, agama dan royalti (3R), dan lima peratus lagi membabitkan gangguan,” menurut kenyataan itu.
“Bagi tujuan ini, platform media sosial secara rutin dan konsisten melakukan penyingkiran proaktif terhadap kandungan yang melanggar piawaian komuniti mereka,” katanya.
MCMC seterusnya menafikan dakwaan ia digunakan untuk menyekat wacana awam mengenai isu atau dasar kerajaan, dengan mengatakan bahawa dakwaan itu membayangkan seolah-olah Putrajaya dan badan kawal selia lain tidak boleh menerima kritikan.
“Persepsi ini tidak tepat dan tidak menggambarkan operasi MCMC dan platform media sosial,” menurut kenyataan itu.
Malaysia dilaporkan membuat 1,862 permintaan kepada TikTok untuk menyekat kandungan tertentu pada separuh kedua tahun lepas, paling tinggi berbanding negara lain.
Negara yang membuat permintaan kedua terbanyak dalam tempoh itu ialah Australia, dengan hanya 651.
TikTok berkata, ia menerima sejumlah 2,202 permintaan daripada Malaysia tahun lepas, berbanding 70 pada tahun sebelumnya.
Meta berkata, ia juga telah menyekat kira-kira 8,600 kandungan di Malaysia sepanjang tahun lepas, peningkatan ketara berbanding 553 sekatan kandungan yang dikenakan pada 2022.
MCMC berkata, ia hanya akan mengemukakan permintaan kepada platform dalam talian jika ada kandungan yang dianggap melanggar piawaian komuniti atau undang-undang Malaysia dan sekatan sebenar kandungan adalah berdasarkan penilaian platform itu sendiri.
Suruhanjaya itu melaporkan, pada suku keempat tahun lepas, satu platform media sosial secara proaktif mengeluarkan 1.8 juta kandungan dalam talian tanpa sebarang permintaan daripada pihak berkuasa.
Kandungan ini merangkumi pelbagai kategori seperti mempromosi buli dan gangguan, pelanggaran privasi, ucapan kebencian, maklumat salah, spam, tingkah laku tidak baik yang diselaraskan, maklumat salah yang memberi kesan secara langsung kepada proses politik, dan media tertentu yang dimanipulasi dengan maklumat tidak benar.
“Walaupun kritikan terhadap kerajaan atau ahli politik dibenarkan, terdapat had undang-undang terhadap kebebasan media, terutamanya apabila ia membabitkan isu sensitif seperti 3R,” katanya.