Nation
105

MEF mohon kerajaan tangguh semakan gaji minimum

Kuala Lumpur – Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memohon Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menangguhkan semakan gaji minimum yang dijadualkan pada Februari 2022.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata kini bukan masa yang sesuai untuk menambahkan kos menjalankan perniagaan kerana majikan terpaksa menggunakan langkah pemberhentian dan pengurangan pekerja selain pemotongan gaji 30 hinga 50 peratus, berikutan kesan pandemik COVID-19.

“MEF berpandangan status quo perlu dikekalkan bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi berikutan pandemik.

“Kami merayu kepada kerajaan untuk tidak menambah beban majikan buat masa ini dengan pandemik masih belum reda, berilah sedikit ruang untuk majikan menstabilkan perniagaan dan mencipta pekerjaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kalangan majikan memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk keadaan kembali stabil dengan lebih pasti sebelum mempertimbangkan bagi membincangkannya kerana bukan perkara yang mudah dan senang apabila ia melibatkan kos sara hidup.

Semalam, ketika menyampaikan perutusan sempena Hari Pekerja 2021 bertemakan ‘Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat’ yang disiarkan di televisyen, Muhyiddin berkata kadar gaji minimum pekerja sedang dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio-ekonomi semasa. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu