Nation
203

Mekanisme kawalan harga minyak masak dilanjutkan sehingga Mac tahun depan

Putrajaya – Kerajaan bersetuju melanjutkan Program Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak sehingga Mac tahun depan dengan melibatkan kos sebanyak RM150 juta, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP menerusi satu kenyataan berkata perkara tersebut dipersetujui dalam mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Pada 27 Julai lepas, kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol berkuat kuasa 1 Ogos, dengan jaminan pengguna akan mendapat minyak masak di bawah harga RM30 untuk botol lima kilogram (kg).

Harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit dalam kemasan botol lima kg adalah RM29.70 sebotol, RM6.70 (1kg), RM12.70 (2 kg) dan RM18.70 (3kg).

Sementara itu, KPDNHEP berkata mesyuarat khas itu turut bersetuju untuk melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di 222 kawasan Parlimen sehingga Mac tahun depan dengan kos sebanyak RM100 juta.

Mesyuarat turut bersetuju yang pemantauan dan pelaporan secara langsung akan dibuat kepada NACCOL bagi 41 inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM14.32 bilion yang telah diluluskan di bawah Bajet 2022.

“Pemantauan secara langsung ini akan memastikan semua agensi kerajaan melaksanakan segera inisiatif tersebut memandangkan peruntukan yang besar ini perlu di rasai oleh rakyat,” menurut kenyataan itu.

KPDNHEP turut memaklumkan isu kekurangan buruh asing dalam sektor berkaitan penghasilan makanan akan segera dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok (10 Dis).

Menurut kenyataan itu, mesyuarat peringkat Jawatankuasa Teknikal NACCOL yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad itu akan diadakan segera untuk menyusul, memperhalusi dan menyelaras cadangan-cadangan lain yang telah dibentangkan dalam mesyuarat khas NACCOL itu.

Mesyuarat khas NACCOL hari ini turut membincangkan mengenai pendekatan menyeluruh kerajaan yang merentasi seluruh kementerian bagi menyelaras inisiatif-inisiatif baharu dalam menangani isu sara hidup.

Ia diadakan sebagai salah satu kesinambungan kepada Mesyuarat Peringkat Eksekutif yang telah diadakan sepanjang 2021 iaitu sebanyak tiga kali pada 23 Feb, 15 Julai dan 15 Okt lepas.

Sebanyak lapan kertas pembentangan daripada pelbagai agensi merangkumi perspektif makro ekonomi, sektor logistik, industri perumahan, penguatkuasaan dan advokasi kepenggunaan serta isu berkaitan buruh, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu