Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Mesyuarat Kabinet, Bajet 2023 atau bubar Parlimen jadi tumpuan hari ini

KUALA LUMPUR — Selepas jangkaan ramai pihak bahawa pengumuman pembubaran Parlimen meleset semalam, tumpuan hari ini terarah kepada hasil mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bermula jam 10 pagi ini, dijangka menyentuh beberapa perkara penting termasuk pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bejet 2023.

Ketika ramai pihak menjangkakan pembentangan Bajet 2023 kemungkinan tidak berjalan mengikut jadualnya pada petang ini, namun hebahan mengenai Bajet 2023 terus disebarkan dipelbagai platform komunikasi, termasuk media arus perdana dan media sosial.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam pautan di Facebook dan Instagramnya malam tadi turut memberi bayangan pembentangan Bajet 2023 akan diteruskan seperti biasa bermula jam 4 petang ini.

“Dengan kurang daripada 24 jam sebelum pembentangan #Bajet2023, debaran semakin memuncak. Seperti biasa sebelum pembentangan Bajet, Perdana Menteri akan hadir untuk meninjau persiapan saat-saat akhir di Kementerian Kewangan.

“Ya Allah Ya Tuhanku, permudahkan segala urusan #TeamMoF dan janganlah engkau persulitkan. Rabbi yassir wala tu’assir. Jangan lupa saksikan Pembentangan Bajet 2023 esok Live (secara langsung) di saluran RTM,” katanya.

RUU Perbekalan 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama pada Rabu lalu, dengan petang ini seperti dijadualkan adalah peringkat bacaan kali kedua, sebelum diikuti dengan sesi perbahasan Ahli-Ahli Parlimen bermula Selasa ini.

Jika berlaku pembubaran Parlimen sebelum RUU itu diluluskan, bermakna RUU Bajet 2023 itu perlu dibentangkan sekali lagi selepas Parlimen kembali bersidang sebaik kerajaan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Semalam, tumpuan media terarah ke Istana Negara, selepas Ismail Sabri mengesahkan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pra-mesyuarat Kabinet hari ini selain beberapa hal lain turut disentuh.

Difahamkan, antara yang diberi perkenan Agong semalam adalah pembatalan enam proklamasi dan ordinan darurat yang diisytiharkan kerajaan bagi menangguhkan pilihan raya sepanjang tempoh usaha menangani penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Pembatalan itu membabitkan Proklamasi dan Ordinan Darurat di Parlimen P054 Gerik, Perak, yang dibuat pada 12 Disember 2020.

Turut dibatalkan ialah proklamasi dan ordinan darurat terhadap Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah yang dibuat pada 18 November 2020.

Pembatalan semua proklamasi dan ordinan darurat itu, membolehkan Perdana Menteri kini membuat permohonan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 pada bila-bila masa, lapor BH Online.

Tags: , , ,