Kuala Lumpur Post

Nation

MH370: “10 tahun berlalu saya masih dipersalahkan”

KUALA LUMPUR — Bekas pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Azharuddin Abdul Rahman berkata orang ramai masih mempersoal dan menyalahkannya berhubung kehilangan MH370 walaupun sudah sepuluh tahun ia berlalu.

Membincangkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 itu yang terus membingungkan dunia, beliau menjawab tuduhan menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan pesawat tersebut.

Pesawat itu hilang tanpa jejak sebaik berlepas pada awal pagi 8 Mac 2014, menuju Beijing, mencetuskan misteri gobal yang masih belum dapat dijawab hingga hari ini.

Walaupun terdapat pelbagai andaian dan teori oleh pakar penerbangan, sehingga kini persoalan mengenai mengapa pesawat itu berpatah balik ke Semenanjung masih belum terjawab.

Azharuddin menyifatkan kehilangan 239 penumpang dan anak kapal dalam tragedi MH370, sebagai kes paling mencabar pernah dikendalikannya dan misteri penerbangan terbesar setakat ini.

Bagi keluarga yang kehilangan insan tersayang, kes itu yang masih belum ada penyelesaian sukar untuk difahami, menimbulkan beban bagi keluarga mangsa dan Azharuddin.

Beliau menyifatkan memori duka itu tetap membelenggunya selaku individu penting yang mengetuai dan menguruskan pencarian pesawat dalam tempoh sangat sukar.

CAAM sebelum ini, dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam (DCA), menyelia operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur dan Azharuddin mengetuai DCA ketika insiden tragis itu berlaku.

Azharuddin berkata, masyarakat masih ingin tahu dan sering bertanya kepadanya mengenai misi pencarian dijalankan.

“Bagaimanapun, sesetengah keluarga masih tidak percaya kepada (CAAM) selepas sedekad. Setiap kali saya menghadiri majlis perkahwinan atau aktiviti surau, orang ramai akan bertanya kepada saya apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

“Berdasarkan cara pesawat itu berpatah balik, terbang ke Pulau Pinang, Langkawi dan Sumatera, kemudian kembali semula, ia sudah pasti dikendalikan oleh juruterbang yang tahu apa yang dilakukannya dan individu pernah menerbangkan pesawat Boeing 777 kerana juruterbang mengikut jejak atau laluan penerbangan syarikat penerbangan komersial.

“Tetapi siapakah juruterbang itu, tiada siapa tahu. Adakah beliau Kapten Zaharie Ahmad Shah? Atau adakah individu lain? Sekiranya Zaharie, di manakah pembantu juruterbang?” katanya.

Beliau berkata, pesawat MH370 tidak mempunyai perlindungan seperti peralatan yang menghalang individu tidak berkenaan daripada mengawal pesawat itu.

Pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan kru meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi dan sepatutnya mendarat di Beijing pada hari sama, hilang dari skrin radar kira-kira dua jam selepas berlepas.

Berikutan itu, Netflix menyiarkan siri tiga episod bertajuk “MH370: The Plane that Disappeared” ditayangkan pada Mac tahun lalu, menampilkan tiga teori termasuk konspirasi sensasi.

Menurut Azharuddin teori yang dibentangkan berdasarkan andaian dan tidak boleh diterima.

“Saya sangat tidak berpuas hati dengan hasil siri itu sehingga saya menulis surat kepada mereka (penerbit) berhubung ketidakpuasan saya.

“Pada mulanya mereka memaklumkan penekanan siri itu adalah berhubung tema kesedihan dan mengadakan temu bual selama lapan jam dengan saya,” katanya.

Susulan kehilangannya, operasi pencarian besar-besaran melibatkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat mahupun serpihannya tidak ditemukan.

Malaysia dan sebahagian syarikat antarabangsa menjalankan operasi meluas membabitkan 120,000 meter persegi lokasi pencarian melalui udara, permukaan laut dan dasar laut dalam usaha mengesan pesawat yang hilang itu.

Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia membuka semula siasatan kehilangan pesawat MH370 jika terdapat bukti baharu dan kukuh.