Politics
375

MIC kekal dalam BN biarpun terdapat perbezaan pandangan : Timbalan Presiden

Ipoh – MIC berpendirian untuk tetap kekal bersama dalam Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat perbezaan pandangan, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri M Saravanan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata perbezaan pandangan tidak sepatutnya dilihat sebagai permusuhan kerana sejarah penubuhan BN bukan atas aspirasi individu tetapi adalah satu perjuangan bersama sejak sebelum kemerdekaan negara.

“Kita kena sedar apabila kita ada pandangan berbeza tidak bererti kita tidak bersama. Ada suami isteri pun berbeza pandangan apa lagi parti-parti politik. Bagaimanapun hubungan antara UMNO, MIC dan MCA kekal bersama, ada perbezaan pandangan dan sebagainya tetapi akhirnya kedudukan kita memang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada balu seorang pengawal keselamatan yang meninggal dunia setelah sekian lama terlantar sakit akibat diserang penyewa sebuah kondominium.

Beliau menyampaikan sumbangan itu di kediaman balu mendiang di Taman Buntong Ria di sini hari ini.

Saravanan berkata kerjasama yang kukuh dan kesetiaan antara parti dapat dilihat apabila kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan banyak parti meninggalkan gabungan itu namun kerjasama MIC, MCA dan UMNO masih kekal.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan bahawa pentadbiran kerajaan baharu yang ditubuhkan kini adalah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri daripada BN, Saravanan berkata ia terpulang kepada pandangan individu.

“Terpulanglah kepada individu hendak lihat daripada sudut mana, yang penting ini adalah Kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu