Nation
407

MIC sambut baik penubuhan Jabatan Diaspora Tamil oleh kerajaan baharu Tamil Nadu

Kuala Lumpur – Jabatan Tamil Luar Negara yang dicadangkan bakal kerajaan Tamil Nadu di India untuk menjaga kebajikan Diaspora Tamil disambut baik pemimpin masyarakat Tamil di Malaysia.

Masyarakat Tamil percaya jabatan yang dijanjikan parti Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) selepas memenangi pilihan raya baru-baru ini bakal menyumbang kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Tamil Nadu.

Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran, optimis hubungan baik antara masyarakat Tamil Malaysia dan rakan-rakan di Tamil Nadu akan terus menerima perhatian istimewa di bawah pemerintahan DMK.

“Saya mengalu-alukan janji khas mereka dan saya bersedia memberikan kerjasama dan nasihat yang mungkin diperlukan kerajaan Tamil Nadu dalam menunaikan dan melaksanakan janji itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vigneswaran juga mengucapkan tahniah kepada Stalin atas kemenangan yang dicapai partinya pada pilihan raya 6 April lalu.

Selepas sedekad menjadi pembangkang, DMK memperoleh kemenangan meyakinkan ke atas pesaing utama All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) dan untuk pertama kalinya Stalin, 68, bakal dilantik sebagai ketua menteri pada 7 Mei nanti.

Sehingga 2 Mei kiraan undi untuk pilihan raya Dewan Perwakilan Tamil Nadu April lalu menyaksikan DMK meraih 126 kerusi dan mendahului di tujuh segmen manakala sekutunya daripada parti Kongres mendapat 18 kerusi. AIADMK sekadar memenangi di 64 kawasan dengan kelebihan dua kerusi.

Dewan Negeri Tamil Nadu mempunyai 234 kerusi dan 118 kerusi diperlukan untuk mendapat majoriti mudah. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu