Nation
305
0

Minggu keempat Dewan Rakyat ditutup dengan pengumuman ‘berita baik’ untuk rakyat

Kuala Lumpur – Minggu keempat Dewan Rakyat berakhir dengan kelulusan ‘menu utama’ persidangan kali ini, iaitu Belanjawan 2021 di peringkat dasar, selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian bertanggungjawab.

Sesi penggulungan selama empat hari bermula 23 Nov melibatkan 27 kementerian, dengan yang terakhir adalah Kementerian Kewangan sebagai kementerian yang bertanggungjawab membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

Rang undang-undang yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov, dilulus tanpa perlu melalui proses undi belah bahagian apabila mendapat sokongan suara terbanyak.

Usaha untuk mendapatkan undi belah bahagian oleh beberapa wakil rakyat pembangkang dan Bebas juga gagal, apabila hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun, sedangkan sejumlah 15 orang perlu bangun untuk membolehkan proses itu dijalankan.

Sepanjang perbahasan rang undang-undang itu, isu-isu yang menjadi tumpuan dan dibangkitan Ahli-ahli Parlimen baik di blok kerajaan mahu pun pembangkang, berkisar kepada bantuan yang menambah aliran tunai rakyat dan perniagaan serta bantuan kewangan secara langsung, untuk membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup dalam menangani impak COVID-19.

Pelbagai isu yang dibangkitkan itu, antaranya morotarium pinjaman bank secara pukal dan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terjawab minggu ini, apabila Tengku Zafrul mengumumkan ‘banyak berita baik’ untuk rakyat.

“Mendokong semangat kerajaan prihatin rakyat, kami sentiasa meneliti rapat perbahasan dalam dewan ini di mana ahli Yang Berhormat semua merupakan denyut nadi suara akar umbi, ini semua bukan cadangan saya. Ini semua cadangan-cadangan Yang Berhormat. Ini semua suara Rakyat yang kami dengar melalui pelbagai saluran.

“Kami mungkin tidak sempurna tetapi kami mendengar, dan untuk bulan-bulan yang mendatang, kami akan terus mendengar, kami akan terus memperhalusi bantuan kerajaan mengikut keadaan COVID dan ekonomi semasa, Insya-Allah,” kata Tengku Zafrul ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021.

Bagi isu moratorium, Dewan Rakyat dimaklumkan ia tetap akan dilaksanakan secara bersasar dengan kaedah permohonan dipermudahkan, manakala bagi pengeluaran KWSP, program i-Sinar kini dibuka untuk kesemua 8 juta pencarum, dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000.

Realitinya Belanjawan 2021 dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi negara agar rakyat mampu menghadapi cabaran ekoran pandemik COVID-19, bukan hanya ketika menghadapi gelombang ketiga tetapi juga bersedia untuk pertumbuhan selepas wabak itu.

Selain itu, isu penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dicadang dalam Belanjawan 2021 turut disentuh minggu ini dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa ia akan dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan peranan dan fungsi berbeza daripada sebelum ini.

Menurut Saifuddin, jumlah RM85.5 juta yang diperuntuk untuk Jasa kini sedang diperhalusi untuk dikurangkan.

Turut disentuh ialah mengenai vaksin COVID-19, apabila Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan mensasarkan 70 peratus daripada rakyat yang akan menerima vaksin itu pada suku pertama tahun hadapan akan tertumpu kepada golongan dewasa.

Dewan Rakyat juga dimaklumkan mengenai kes kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam, dengan sebanyak 2,287 kertas siasatan dibuka sejak 2016 sehingga September lepas, selain isu pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mana, cadangan pindaannya akan dibentang kepada pihak negeri awal tahun hadapan. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu