Social
192

Misteri kanak-kanak melintas di lebuh raya

Sydney – Seorang pemandu yang mengelak daripada me­langgar seorang kanak-kanak di tengah jalan diselubungi misteri selepas polis gagal menemui mangsa setelah mencarinya selama lapan jam, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Lelaki itu, Mitch Kuhne berkata, dia menerima panggilan daripada polis mengatakan bahawa kanak-kanak tersebut telah dijumpai.

Bagaimanapun, polis Australia kemudian mengesahkan bahawa tiada panggilan sedemikian dan kanak-kanak tersebut tidak pernah dijumpai.

Dalam kejadian di Lebuh Raya Hume, selatan Sydney itu , Kuhne hampir melanggar sosok dipercayai seorang kanak-kanak yang tiba-tiba melintas di hadapan kenderannya.

Risau akan keadaan mang­sa, Kuhne menghubungi polis negeri New South Wales (NSW) kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan).

Beberapa anggota kemudian tiba dan mencari kanak-kanak tersebut di sekitar lokasi kejadian, namun gagal menemuinya. Pasukan polis menghentikan operasi mencari pukul 3.45 pagi Isnin lalu.

Namun, misteri itu berterusan apabila Kuhne berkata, dia menerima panggilan telefon daripada polis mengatakan bahawa kanak-kanak itu telah dijumpai dalam keadaan selamat.

“Saya diberitahu oleh seorang anggota polis bahawa saya tidak perlu menghantar lokasi saya terserempak dengan kanak-kanak tersebut kerana dia telah dijumpai dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Saya mulanya amat risau namun berasa lega apabila mendapat tahu kanak-kanak tersebut telah dijumpai.

“Namun, kerisauan saya memuncak apabila polis mengatakan bahawa mereka tidak pernah memberitahu perkara itu. Ia amat mengejutkan kerana saya merekodkan perbualan tersebut!” katanya.

Polis NSW mengesahkan pihaknya tidak menjumpai ka­nak-kanak tersebut dan tidak menghubungi Kuhne bagi mem­beritahu bahawa mangsa telah dijumpai. – Agensi

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu