Nation
698

MITI ambil tindakan syarikat manipulasi surat kelulusan operasi CIMS 3.0

Kuala Lumpur – Satu laporan polis telah dibuat terhadap sebuah syarikat perkhidmatan tidak penting menawarkan khidmat fotografi yang mendakwa dapat kelulusan beroperasi menerusi sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu sedang dalam siasatan polis untuk diambil tindakan.

Beliau berkata setiap surat kelulusan CIMS 3.0 mempunyai satu kod QR tersendiri, dan imbasan kod QR menunjukkan pendaftaran syarikat berkenaan tidak pernah diluluskan, dan terdapat elemen penipuan.

“Dia (syarikat) mendakwa dibenarkan beroperasi dan kita (MITI) telah berikannya surat kelulusan, namun selepas siasatan menyeluruh kita dapati ia adalah dakwaan palsu yang memberi imej tidak baik kepada sistem CIMS dan kementerian,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian bagi mengulas isu tular mengenai khidmat fotografi dan pembuatan kasut kecil-kecilan yang menjadi antara sektor diluluskan oleh MITI menerusi CIMS 3.0.

Turut hadir adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Mohamed Azmin berkata terdapat beberapa kes penipuan permohonan untuk operasi telah dikesan dan diambil tindakan undang-undang.

Beliau memberi contoh sebuah syarikat yang mendakwa sebagai pengeluar sut peralatan perlindungan diri (PPE), namun hasil siasatan mendapati aktiviti syarikat itu hanya meliputi pembuatan topi keledar, dan menurutnya syarikat itu telah dikompaun RM10,000 serta diarah tutup operasi bagi tempoh dua minggu.

Beliau berkata MITI turut mengambil maklum mengenai aduan beberapa pihak yang mendakwa CIMS 3.0 telah dibolosi dan ada syarikat mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

Katanya MITI sedang bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia serta beberapa pakar IT yang lain bagi memperkasa portal CIMS sekali gus mengelak kebolosan sistem itu.

“MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem ini. MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0,” tambah beliau. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu