Social
286

Modus operandi baharu sindiket penipuan jual vaksin Covid-19 dikesan

Kuala Lumpur – Empat laporan polis diterima berkait isu vaksin COVID-19 dengan tiga daripadanya berkenaan dakwaan wujudnya kegiatan penipuan penjualan vaksin kepada orang ramai.

Satu lagi laporan adalah berkait isu penambahan jumlah penerima vaksin di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga melebihi jumlah yang dibekalkan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamaruddin Md Din.

Beliau berkata berikutan itu polis menjalankan siasatan dan sehingga kini lapan orang ditahan bagi membantu siasatan. Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Satu daripada siasatan kes-kes itu telah selesai dan pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan setelah siasatan mendapati tiada bukti serta keterangan yang mencukupi untuk menuduh suspek-suspek terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan juga polis turut mengesan antara lain kewujudan modus operandi baharu isu penjualan vaksin COVID-19 untuk memperdaya mangsa iaitu mangsa akan dihubungi sindiket yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan memaklumkan mangsa akan dikenakan tindakan kerana didapati menjual vaksin COVID-19 secara dalam talian melalui Facebook.

“Mangsa yang panik dengan dakwaan itu, kemudiannya akan menuruti semua arahan yang diberikan sehingga mangsa akhirnya membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan sindiket ini.

“Sehingga kini, sebanyak 38 laporan polis telah diterima berkaitan kes-kes sedemikian yang melibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM54,500,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Kamaruddin meminta orang awam sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa penipuan sindiket itu yang mengambil kesempatan dengan memanipulasi isu semasa untuk mengaut keuntungan dengan cara tidak betul.

Polis mengalu-alukan orang awam untuk menghubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101559/1599 jika mempunyai sebarang keraguan atau maklumat berkenaan kegiatan jenayah komersial ini.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berkenaan siasatan kes-kes melibatkan vaksin COVID-19 dan memberi jaminan selaku agensi penguat kuasa undang-undang, polis sentiasa komited untuk memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu