Kuala Lumpur Post

Nation

Mohamad Hasan ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tergempar OIC

PUTRAJAYA — Menteri Luar, Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tergempar jawatankuasa eksekutif di peringkat menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan semalam berkata, mesyuarat itu yang diusulkan Palestin dan Iran akan membincangkan jenayah kependudukan Israel berterusan terhadap rakyat Palestin, pencerobohan serta ancaman Israel terhadap kedaulatan Iran.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan menteri luar Gambia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak OIC ke-15.

Menurutnya, penyertaan Mohamad dalam mesyuarat itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza oleh rejim Zionis, termasuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.

Ia juga menandakan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Malaysia menyokong penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Selain itu, Malaysia menyokong kemasukan Negara Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai anggota penuh, menurut kenyataan itu.