Kuala Lumpur Post

Nation

MPFN : Penawaran iklim pelaburan komprehensif dan kompetitif tarik pelabur

PUTRAJAYA — Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penekanan kepada usaha menarik pelabur yang perlu dipergiatkan terutama melalui penawaran iklim pelaburan lebih komprehensif dan kompetitif.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi mencapai unjuran peningkatan nilai sektor pembuatan yang telah disasarkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, ekosistem sektor pembuatan yang berkaitan khususnya perlu dipertingkatkan antaranya melalui penyediaan kemudahan dan infrastruktur taman perindustrian yang kondusif untuk pelabur atau pengilang.

Menurut KPKT penyediaan taman perindustrian yang terancang dan terurus dengan memberi penekanan kepada elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan penerimagunaan teknologi akan menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

“Penyediaan Taman Perindustrian Terurus (MIP) dengan infrastruktur ESG tersedia ini akan menjadi pencetus perubahan kepada penawaran ruang perindustrian di rantau ini.

“Pelabur dewasa ini juga lebih berminat dengan ketersediaan infrastruktur dan tawaran bantuan kepakaran yang membolehkan mereka untuk beroperasi dengan kadar segera menerusi konsep ‘plug and play’ mengikut kesesuaian pelaburan mereka,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPKT kegagalan Malaysia untuk menawarkan kemudahan tersebut akan menyebabkan pelabur berpindah ke destinasi lain di kawasan serantau.

Kenyataan itu memaklumkan MPFN telah mempertimbangkan lima kertas kerja melibatkan empat kertas persetujuan iaitu kertas cadangan pembangunan projek berkepentingan negara dikemukakan kerajaan Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan untuk mendapatkan pertimbangan dan nasihat majlis serta satu kertas pemakluman mengenai Maklumat Guna Tanah Negara 2022.

Maklumat Guna Tanah Negara diterbitkan dua tahun sekali bagi melaporkan penggunaan tanah semasa serta trend perubahan guna tanah negeri di Semenanjung Malaysia.

Ia disediakan berdasarkan kepada Sistem Maklumat Guna Tanah Perancangan Bersepadu (I-Plan) yang telah dibangunkan dan diguna pakai oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bermula 2016.

Menurut kenyataan itu trend perubahan guna tanah tepu bina bagi 2018 kepada 2022 di Semenanjung Malaysia menunjukkan berlaku peningkatan keluasan 2.80 peratus atau 34,658.39 hektar berikutan pertumbuhan ekonomi negara yang membuka kepada permintaan guna tanah komersial dan industri yang menyumbang kepada peluang pekerjaan.

“Ini dapat dilihat dalam suku tahun keempat 2022, keadaan pasaran pekerjaan bertambah baik. Selain itu, peningkatan guna tanah tepu bina ini juga disebabkan migrasi penduduk ke bandar,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPKT keluasan guna tanah pertanian di Semenanjung Malaysia juga meningkat kepada 0.97 peratus atau 51,273.31 hektar, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pembukaan kawasan pertanian bagi tujuan sumber bekalan makanan di negara ini.

Bagi guna tanah hutan, berlaku penurunan keluasan guna tanah sebanyak 1.48 peratus atau 92,751.23 hektar yang disebabkan oleh perubahan guna tanah daripada hutan kepada aktiviti pertanian dan pembangunan yang lain.

“Pembukaan kawasan hutan untuk aktiviti pembangunan lain perlu diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan ekosistem alam sekitar yang terjejas boleh membawa kesan negatif yang besar kepada penduduk setempat seperti kejadian tanah runtuh, banjir dan lain lain,” menurut kenyataan itu.

Bagi guna tanah badan air, KPKT memaklumkan berlaku peningkatan 0.29 peratus atau 1,063.78 hektar disebabkan penyemakan dan penyelarasan semula keluasan guna tanah badan air.

Tags: , ,