Politics
252

MUDA dibenar cabar tindakan menteri, RoS berhubung pendaftaran parti

Kuala Lumpur – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakan tindakan undang-undang berhubung keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu pada prosiding secara dalam talian hari ini.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Ali ketika dihubungi pemberita berkata mahkamah memberi kebenaran itu selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah dan menetapkan 5 Okt ini untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Peguam Lim Wei Jiet mewakili Syed Saddiq dan 12 yang lain, mengesahkan perkara itu.

Pada 24 Ogos lepas, Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran yang baharu bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri serta RoS yang menolak rayuan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.

Syed Saddiq dan 12 individu itu memohon suatu deklarasi bahawa permohonan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan di bawah kategori parti politik adalah teratur dan telah mematuhi segala keperluan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mereka juga memohon suatu perintah mandamus untuk kedua-dua responden mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan dalam kategori pertubuhan politik dalam masa 14 hari dari tarikh perintah.

Selain itu, suatu perintah ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai, kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Pada 18 Ogos lepas, MUDA menarik balik permohonan semakan kehakiman sebelum ini yang mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan MUDA untuk mendaftarkan parti berkenaan atas alasan ia menjadi akademik kerana pada 12 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri telah membuat keputusan berhubung rayuan itu dengan menolak permohonan tersebut, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu