Nation
313

Mufti Selangor sokong Sultan Selangor melarang penggunaan kalimah Allah dalam Bible

Shah Alam – Wajib bagi umat Islam untuk menjaga penggunaan kalimah Allah dengan cara terbaik, sebagaimana keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 18 Feb 2010.

Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan Undang-Undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga jelas menegaskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam, dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Beliau berkata Jabatan Mufti Negeri Selangor mendokong titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 23 Mac, lalu yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian di Selangor.

Mohd Tamyes berkata, kalimah Allah merupakan kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa, yang memiliki segala sifat kesempurnaan seperti mana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4.

“Ini amat bercanggah dengan kepercayaan agama lain yang ingin menggunakan kalimah Allah tetapi mendakwa Allah itu salah satu dari tiga tuhan, seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 73,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu beliau berkata, umat Islam sewajarnya menyokong setiap usaha untuk melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam konteks yang salah, dengan tujuan untuk membanteras kekeliruan dalam masyarakat.

“Saya dengan penuh kesedaran menyeru umat Islam di Selangor khasnya, agar terus istiqamah mempertahankan kesucian Islam dan keluhuran kalimah Allah daripada disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu, terutama sekali dalam perkara yang boleh mengancam akidah umat Islam.

“Umat Islam dan bukan Islam hendaklah menghormati keputusan fatwa yang telah diwartakan ini. Setiap fatwa yang diwartakan adalah mengikat seluruh orang Islam di negeri berkenaan, dan hendaklah diiktiraf oleh Mahkamah di negeri tersebut,” kata Mohd Tamyes. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu