Nation
193

Muhammad Shafee dibenar dapatkan sementara pasport untuk ke New York

Kuala Lumpur Р Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkannya ke New York bagi urusan pengajian anak lelakinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memberikan pelepasan sementara pasport itu mulai hari ini hingga 3 Disember setelah mendengar hujah peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee, setelah tiada bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya S Nithia.

Dalam hujahnya, Wee berkata anak guamnya perlu ke New York dari 27 Oktober hingga 30 November ini, untuk bertemu anaknya untuk membantu dalam urusan pengajian tinggi di The New School Parson di New York.

Menurut notis usul yang difailkan pada 18 Oktpber lalu, Muhammad Shafee memohon agar pasport antarabangsanya diserahkan kepadanya buat sementara waktu selewat-lewatnya pada 25 Oktober untuk beliau membuat persiapan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) ke New York pada 27 Oktober.

Muhammad Shafee berkata, beliau akan mengembalikan pasportnya kepada mahkamah pada 3 Disember ini.

Muhammad Shafee yang merupakan peguam bela utama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah dibenarkan ke luar negara beberapa kali selepas beliau sendiri didakwa.

Peguam berusia 69 tahun itu telah menyerahkan pasportnya pada September 2018 setelah didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya .

Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember, 2013 dan 31 Disember, 2014.

Setakat ini, enam saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam kes itu yang bermula pada 21 Mei lalu.

Perbicaraan dijadual bersambung pada 26 dan 27 Oktober ini, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu