Nation
266

Muhyiddin harap kerajaan baharu dibentuk segera

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera, supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan berjalan seperti biasa.

Beliau berkata tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting, kerana kita dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.

“Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut. Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga,” katanya dalam perutusan khas di sini hari ini.

Muhyiddin berkata momentum pelaksanaan program vaksinasi COVID-19 negara tidak boleh terganggu dan rekod sebagai negara mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan.

Beliau juga berkata, kabinetnya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion ringgit, lebih daripada mencukupi untuk rakyat Malaysia.

“Kepada semua rakyat Malaysia, jangan bimbang. Kabinet saya telah menempah vaksin yang lebih daripada mencukupi untuk anda semua. Jika program vaksinasi berjalan lancar, anda semua akan menerima vaksin menjelang hujung Oktober.

“Saya berharap kerajaan baharu yang akan mengambil alih pentadbiran negara ini akan menjaga anda semua, kerana hanya itulah yang amat saya ambil berat. Saya sentiasa ambil berat mengenai anda semua,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, beliau sentiasa prihatin dengan nasib rakyat dan menganggap mereka sebagai anak-anaknya sendiri.

Justeru katanya, kebajikan rakyat menjadi keutamaan kerajaan Perikatan Nasional iaitu kerajaan yang prihatin rakyat.

Beliau juga optimis bahawa negara akan keluar daripada krisis COVID-19 dalam masa terdekat, sambil menyatakan keterujaan dengan situasi jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan, di beberapa hospital di Lembah Klang.

“Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu