Nation
64

Muhyiddin mahu KPDNHEP bekerjasama dengan agensi lain tangani kenaikan harga barang

Putrajaya – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berganding bahu dengan agensi kerajaan yang lain dalam menangani isu kenaikan harga barangan keperluan.

Beliau berkata ini kerana isu itu memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan.

Katanya kerajaan sedar ada sebilangan pemborong dan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan pada musim-musim tertentu yang pastinya membebankan pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah serta peniaga dan penjaja kecil-kecilan.

“Pihak kerajaan perlu memastikan supaya aktiviti tidak beretika yang menekan dan membebankan pengguna ini dapat dibanteras dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya dalam amanat beliau bersempena lawatan ke KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC), di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, tindakan KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula 21 April lepas adalah satu langkah bagi menyekat kenaikan harga barangan keperluan ketika Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

SHMMP dilaksanakan selama 30 hari bermula Rabu lepas hingga 20 Mei ini, melibatkan 12 jenis barangan daripada empat kategori iaitu, ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Muhyiddin berkata walaupun terdapat beberapa perubahan dari segi skop tugas, fungsi utama KPDNHEP selaku penjaga kepada sektor perdagangan dalam negeri serta kepenggunaan masih kekal dan menjadi semakin penting terutama ketika negara berhadapan dengan situasi perubahan ekonomi global semasa.

Mengakui ia bukan suatu tugas mudah, Muhyiddin yang pernah menerajui KPDNHEP dari 1999 hingga 2004, yakin KPDNHEP sebagai petugas barisan hadapan pemulihan ekonomi serta kesejahteraan pengguna akan terus teguh mendepani cabaran, sekali gus meneruskan perjuangan memenuhi keperluan rakyat.

Muhyiddin juga mahu warga KPDNHEP terus memainkan peranan lebih efektif dalam mengawal selia sektor perdagangan dalam negeri, terutamanya berkaitan perdagangan pengedaran bagi memastikan gerak kerja ekonomi negara lancar.

Beliau berkata warga KPDNHEP telah mempamerkan komitmen tinggi sebagai penjawat awam termasuk memastikan kelangsungan aktiviti perdagangan pengedaran terutamanya pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020.

Mengimbas situasi pembelian panik ketika PKP lepas, Perdana Menteri bangga dengan kejayaan KPDNHEP menangani situasi itu selain memastikan bekalan barangan keperluan asas, pelitup muka serta cecair pembasmi kuman mencukupi sepanjang tempoh tersebut.

Kejayaan lain yang membanggakan ialah penyediaan dokumen prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor perdagangan pengedaran ketika PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Penghasilan SOP ini membolehkan aktiviti perniagaan diteruskan oleh lebih 170 kategori perniagaan runcit dan borong dalam keadaan terkawal serta selamat,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata KPDNHEP juga telah merancakkan penggunaan e-dagang terutamanya dalam sektor perdagangan pengedaran selain menjalankan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan Program Jualan Malaysia. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu