Kuala Lumpur Post

Social

Muhyiddin mengaku tak bersalah menghasut

GUA MUSANG — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa menyebut perkataan menghasut sebagaimana ayat yang bergaris, lapor Harian Metro.

Ayat berkenaan adalah “Saya nak ceritakan mungkin orang Nenggiri ingatkah.. tak ingat. Saya waktu itu, sekali lagi diberikan sokongan ada 115 Ahli Parlimen yang sokong saya.

Ikut Perlembagaan kalau saya sebagai Ahli Parlimen ada dapat sokongan 114, campur saya Muhyiddin Yassin ada satu Parlimen jadi 115. Kerusi Parlimen 222. Kalau bahagi 2 berapa? 111… kalau dapat lebih 1 dia boleh bentuk kerajaan. Tapi saya dapat 115.

Kalau ikut kiraan Perlembagaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi Perdana Menteri. Ini bukan nak mengungkit tapi it’s a record of history. Tapi entah macam mana Yang Dipertuan Agong waktu itu tak ajak jemput saya pergi Istana angkat sumpah.

Siapa yang Dipertuan Agong dulu? Faham dah la eh. Kita tak nak cerita apa-apa buruk eh, tapi yang itu bagi saya agak luar biasa…tapi takpe lah. Maka lepas tu terbentuklah kerajaan Perpaduan.. sekarang ni kita panggil kerajaan Madanon.”

Kesalahan itu dilakukan berhampiran Dewan Semai Bakti di Felda Perasu di Gua Musang antara 10.30 hingga 11.50 malam, 14 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan enam timbalan pendakwa raya yang diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Muhyiddin diwakili lima peguam iaitu Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.

Terdahulu, Umar Saifuddin memohon jaminan ditawarkan sebanyak RM20,000 selain mengenakan syarat tambahan berhubung perintah larangan bersuara dan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.

Amer Hamzah pula memaklumkan jaminan yang ditawarkan sebanyak RM20,000 adalah tidak wajar dan keterlaluan, memandangkan sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hanya dikenakan jaminan RM5,000 sahaja.

Katanya, jaminan RM5,000 sudah memadai dan tidak perlu mengenakan sebarang perintah larangan bersuara memandangkan isu berkenaan sudah diketahui umum.

“Malah anak guam saya juga mengeluarkan kenyataan fakta dan segala bukti sudah diserahkan kepada pihak polis untuk diperincikan. Justeru tidak perlu syarat tambahan dikenakan selain jaminan hanya RM5,000 sahaja,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan menolak permohonan pihak pendakwaan berhubung perintah larangan bersuara.

Mahkamah juga menetapkan 4 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu Muhyiddin tiba di mahkamah pada kira-kira 8.43 pagi dengan diiringi pimpinan parti termasuk Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.