Nation
156

Murid, pelajar dibenar untuk rentas negeri

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan murid atau pelajar untuk merentas negeri bagi tujuan ke sekolah dan institusi pendidikan apabila ia dibuka nanti.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata bagaimanapun mereka perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah atau institusi pendidikan.

Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara telah mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan harian ke sekolah atau institusi pendidikan dan kemasukan pelajar ke asrama yang melibatkan pergerakan rentas negeri itu.

“Pergerakan pergi dan balik ke sekolah atau institusi pendidikan bagi murid atau pelajar yang terlibat boleh ditemani oleh seorang penjaga.

“… dan pergerakan guru atau tenaga pengajar ke sekolah (atau) institusi pendidikan untuk merentas negeri bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran dibenarkan dengan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah (atau) institusi pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau juga berkata pergerakan bagi kemasukan murid (atau) pelajar ke asrama, (juga) adalah dibenarkan dengan menggunakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah atau institusi pendidikan untuk tujuan merentas negeri. Jumlah di dalam kenderaan bagi tujuan pergerakan ini adalah berdasarkan kepada kapasiti kenderaan.

“Oleh yang demikian, PDRM menasihatkan pelajar, ibu bapa, guru atau tenaga pengajar yang ingin membuat pergerakan merentas negeri bagi tujuan ini agar menyediakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah (atau) institusi pendidikan untuk dikemukakan kepada petugas di sekatan jalan raya bagi melancarkan pergerakan,” katanya.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 15 Ogos lepas mengumumkan tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Okt iaitu dilewatkan berbanding 1 Sept seperti yang diumum sebelum ini.

Dr Radzi berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya merancang membuka semula Institusi Pengajian Tinggi untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi sesi akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober ini, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu