Nation
1K

Nagaenthran positif Covid-19, hukuman mati ditangguh

Singapura – Rakyat Malaysia, Nagaenthran K. Dharmalingam, 33, yang sepatutnya menjalani hukuman mati pada Rabu (10 Nov) atas sabitan mengedar dadah, mendapat perintah penangguhan sementara selepas mahkamah dimaklumkan beliau positif COVID-19.

Berikutan itu, Nagaenthran yang berasal dari Perak telah diberikan lanjutan tambahan pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Rayuan.

Nagaenthran, sebelum ini hadir di mahkamah untuk mengemukakan rayuan terakhir terhadap hukuman mati yang dikenakan terhadapnya 11 tahun lepas.

“Mahkamah Rayuan telah memerintahkan penangguhan hukuman. Saya memfailkan permohonan lain pada saat-saat akhir,” kata peguamnya M Ravi dalam hantaran terkininya di Facebook hari ini.

Sebaik prosiding bermula, mahkamah dimaklumkan bahawa Nagaenthran dijangkiti COVID-19, katanya.

Pada Isnin (8 Nov) Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan hari ini diadakan di hadapan tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Hakim Andrew Phang Boon Leong, Hakim Judith Prakash dan Hakim Kannan Ramesh.

Menurut The Straits Times, Nagaenthran dibawa ke kandang pesalah seketika, sebelum dia dibawa keluar.

Sebaik prosiding bermula, Hakim Phang dilaporkan berkata: “Kami difahamkan bahawa dia didapati positif COVID-19.”

Phang berkata mahkamah menangguhkan perbicaraan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan mengeluarkan penangguhan pelaksanaan sehingga semua prosiding berkaitan selesai.

Nagaenthran ditahan pada 2009 kerana membawa 42.72 gram heroin ke Singapura.

Peguam mendakwa anak guamnya adalah orang kurang upaya daripada segi intelek. Dia dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Nov 2010. Proses rayuan melalui mahkamah dibuat sehingga ke peringkat akhir, dan permohonan mendapatkan pengampunan presiden ditolak pada 1 Jun 2020.

Kes Nagaenthran menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan pada Ahad (7 Nov), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengutus surat kepada rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes ini, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu