Nation
94

Naib Ketua UMNO Rasah meninggal dunia

Kuala Lumpur – Naib Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Baharin Mohamad, 70, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), jam 2 petang semalam.

Perkara itu dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerusi Twitter semalam.

“Dukacita menerima perkhabaran Datuk Baharin kembali ke rahmatullah siang tadi. Allahyarham meninggalkan kita pada hari Jumaat, hari yang mulia penghulu segala hari. Al-Fatihah. Amin ya rabbal alamin,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Baharin yang juga Naib Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PLBNS) yang disahkan positif COVID-19 pada 2 Jun, telah dimasukkan ke HTJ sembilan hari lalu setelah mengadu mengalami sesak nafas.

Timbalan Presiden PLBNS, Yunus Ibrahim berkata pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat sukan berbasikal di Negeri Sembilan.

“Beliau seorang yang baik dan suka membantu selain banyak jasanya dalam persatuan. Kami menganggap ia satu kehilangan permata yang berharga,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tuan Haji Said Seremban pada jam 6 petang mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Yunus berkata Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Normah Sentol dan dua anak.

“Isterinya juga disahkan positif COVID-19 dan sudah lapan hari berada di Hospital Tampin,” katanya. — BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu