Nation
156

Najib belum diisytihar bankrap : Peguam

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum diisytiharkan bankrap kerana kegagalannya membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Najib, Wee Yeong Kang memberitahu pemberita bahawa Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif memaklumkan pihak-pihak berkenaan bahawa tindakan kebankrapan terhadap Najib belum berlaku walaupun Peguam Hasil Athari Faris Ammerry Hussein, yang bertindak untuk LHDN memohon tindakan kebankrapan itu direkodkan oleh mahkamah dengan segera.

“Kami membantah permohonan LHDN (agar tindakan kebankrapan dicatat) kerana kesilapan peraturan dalam proses kebankrapan.

“Mahkamah kemudian memaklumkan bahawa tindakan muflis belum berlaku pada peringkat ini,” katanya selepas pengurusan kes berkenaan melalui proses dalam talian hari ini.

Peguam itu berkata anak guamnya akan mengemukakan permohonan untuk menangguhkan prosiding kebangkrapan dan mengetepikan notis kebankrapan sebelum 24 Mei.

Wee berkata mahkamah juga menetapkan hari yang sama (24 Mei) untuk pengurusan kes berikutnya bagi mengetahui perkembangan status permohonan.

Pada 4 Feb, kerajaan memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lepas.

Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Feb 2021 jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu