Nation
364

Najib ‘cuci tangan’ dalam isu SRC : Sithambaram

Putrajaya – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bertindak ‘mencuci tangan’ dalam isu membabitkan SRC International Sdn Bhd, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa beliau (Najib) mengambil tindakan untuk melindungi kepentingan SRC meskipun berbilion wang telah disalurkan kepada syarikat itu oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

“Yang Arif, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa perayu telah mengambil tindakan untuk melindungi atau memelihara kepentingan SRC… Malah semasa perbicaraan, beliau memaklumkan kami bahawa beliau menyerahkan semua perkara kepada Lembaga Pengarah (BOD) terbabit.

“Beliau tidak pernah menyatakan bahawa beliau telah mengambil tindakan untuk menyelamatkan SRC dan beliau juga tidak menyalahkan BOD kerana berkelakuan buruk… beliau hanya cuci tangan,” katanya.

Sithambaran berkata demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil semasa pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan serta hukuman penjara kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.

Turut bersidang Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Sithambaran juga menyifatkan tindakan pihak pembelaan yang sering meletakkan kesalahan bagi sebarang salah laku dalam syarikat itu kepada orang lain sebagai ‘agak keterlaluan.’

Beliau berkata hanya Najib dan bukan orang lain yang memperoleh manfaat daripada penyelewengan dana SRC.

“Meskipun ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah individu di belakang tabir, ia tidak menyaksikan sebarang perbezaan kerana mereka (Low, Datuk Azlin Alias dan Nik Faisal Ariff Kamil) bekerja untuk bos yang sama (Najib),” katanya.

Sithambaram berkata bukti dan fakta menunjukkan bahawa Najib terus memberikan mandat perbankan peribadinya kepada Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil selama bertahun-tahun sehingga penutupan akaun AmBank beliau.

“Perkara itu bertentangan dengan kebolehpercayaan Najib yang kini mencadangkan bahawa Nik Faisal telah bertindak tanpa pengetahuan beliau namun pada masa sama, mengekalkan individu terbabit sebagai pemegang amanah yang dipercayainya.

“Nik Faisal dikekalkan meskipun selepas beliau dipecat sebagai CEO SRC kerana penyelewengan kewangan. Nik Faisal sebenarnya adalah orang kepercayaan perayu (Najib),” katanya.

Beliau juga berkata bukti menunjukkan bahawa Najib bukan hanya menyeleweng RM42 juta seperti yang dinyatakan dalam tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) terhadapnya malah turut menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadi dan tujuan politik.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Pendengaran rayuan kes itu bersambung esok. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu