Nation
105

Najib dibenar pinda tarikh pelepasan ke Singapura

Kuala Lumpur – Tiga Mahkamah Tinggi berasingan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang dijangka akan melahirkan anak kedua pada awal November.

Tiga hakim iaitu Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Najib selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Mohamad Mustafa P. Kunyalam dan Shafiq Hasim.

Najib, 68, selaku pemohon yang memfailkan notis usul pada 21 Okt lepas, memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Okt sehingga 22 Nov kepada 25 Okt sehingga 6 Dis ini untuk melawat Nooryana di Singapura.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam afidavit sokongannya berkata beliau juga diamanahkan untuk membantu jentera parti UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov depan memandangkan Presiden Parti UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa itu, akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakang.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas perdana menteri itu telah memfailkan notis usul untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura dan akan berangkat ke negara itu pada 21 Nov, sehari selepas PRN Melaka.

Najib dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Muhammad Shafee berkata sepatutnya 29 dan 30 Nov ditetapkan untuk sambung bicara, namun ia akan diganti dengan tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian berikutan anak guamnya masih berada di Singapura pada waktu itu.

Sementara itu Muhammad Shafee turut memaklumkan kepada Hakim Sequerah yang mendengar perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion, bahawa tarikh perbicaraan kes pada 9 hingga 11 Nov ini diteruskan seperti biasa sebelum anak guamnya berangkat ke Singapura pada 21 Nov.

Di hadapan Hakim Muhammad Jamil, peguam itu memaklumkan bahawa Najib akan kembali ke negara ini pada 5 Dis dan akan memulangkan semula pasportnya kepada mahkamah pada 6 Dis.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Najib bakal dibicarakan bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berhubung enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu