Nation
175
0

Najib dijangka fail permohonan mulakan prosiding terhadap Tommy Thomas

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka memfail permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan memoirnya yang diterbitkan baru-baru ini ‘My Story: Justice in the Wilderness’ mengandungi fitnah, iaitu mengaitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pembunuhan seorang wanita, Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada pemberita, permohonan itu mungkin difailkan dalam minggu ini.

“Anak guam saya, Datuk Seri Najib tidak dikaitkan langsung sepanjang perbicaraan kes itu (Altantuya) yang sudah diputuskan pada peringkat Mahkamah Persekutuan. Kata-Katanya (Thomas) dilihat sebagai memalukan mahkamah.

“Saman fitnah sesuatu yang pasti. Permohonan bagi prosiding menghina mahkamah sudah siap sebanyak 98 peratus dan kami akan memfailkannya dalam minggu ini. Kami harus memberikan beliau (Thomas) notis tunjuk sebab dahulu,” katanya semasa ditemui pemberita, selepas perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pada 2 Februari lalu, Najib dalam surat tuntutan yang dihantar menerusi firma peguamnya Tetuan Shafee & Co menuntut satu permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Thomas, berhubung fitnah terhadap bekas perdana menteri itu yang didakwa terkandung dalam memoir berkenaan.

Antara lain, surat tuntutan itu menyebut melalui inferens dan sindiran yang jelas, Thomas memberi mesej bahawa beliau, ketika menjadi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, berpuas hati dengan kebenaran yang terdapat dalam dakwaan dua individu yang disabitkan bahawa Najib terbabit dalam mengarahkan mereka supaya membunuh Altantuya.

Bagaimanapun, Thomas, dalam maklum balas kepada surat tuntutan itu pada 5 Februari lalu, menafikan telah memfitnah Najib. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu