Social
205

Najib dikompaun RM3,000, Pengurus restoran RM10,000

Kuala Lumpur –  Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikompaun RM3,000 atas dua kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan kes pelanggaran SOP Norma Baharu PKPB oleh Najib di Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng, Bukit Bintang, di sini, dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara hari ini dengan keputusan mengenakan kompaun.

Menurutnya, Najib dikenakan kompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

“Kesalahan pertama adalah gagal mengimbas suhu badan semasa memasuki premis Nasi Ayam Hainan Chee Meng dan kesalahan kedua gagal mendaftar kehadiran di premis itu melalui aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual.

“Pengurus restoran Yeok Wei Hao dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mengarahkan Datuk Seri Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama di dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, semua yang terbabit akan dikeluarkan kompaun dalam masa terdekat dengan nilai kompaun keseluruhan RM13,000.

“Polis menasihati orang ramai supaya patuh kepada SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi Covid-19,” katanya.

Harian Metro pada 20 Mac lalu melaporkan satu video berdurasi satu minit 39 saat menunjukkan Najib dilihat masuk ke restoran berkenaan dengan tidak melakukan imbasan suhu serta mendaftar MySejahtera tular di media sosial.

Najib bagaimanapun turut memuat naik kenyataan berhubung perkara itu di Facebook dengan mengaku kesilapan apabila tidak mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera walaupun pegawainya sudah berbuat demikian. – Harian Metro

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu