Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Najib fail permohonan cabar keputusan Jabatan Penjara

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang menolak permintaannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Bekas perdana menteri itu memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman melalui Tetuan Shafee & Co hari ini di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Najib, 69, menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden.

Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja parlimen, perundangan dan konstituen.

Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa beliau berhak mendapat akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja parlimen, perundangan dan konstituen serta memohon perintah mandamus kepada responden supaya mengambil segala langkah yang perlu bagi membolehkannya mendapat akses yang munasabah kepada pegawainya/pembantu bagi tujuan tersebut, lapor Bernama.

Tags: , , ,