Social
236

Najib gagal permohonan dapatkan dokumen 1MDB

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak, gagal dalam dua permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung pembabitan anggota keluarga bekas gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas menolak permohonan bekas Perdana Menteri tersebut termasuk selesai mendengar hujah kedua-dua belah pihak sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Collin berkata maklumat yang ingin diperolehi oleh pembelaan bukanlah sebahagian daripada kes pendakwaan.

Katanya, sehubungan itu pendakwaan tidak perlu untuk mengemukakan sebarang dokumen yang bukan menjadi sebahagian daripada kes mereka.

“Apa yang diminta oleh pembelaan adalah seperti mengarahkan pendakwaan untuk mengendalikan siasatan berdasarkan apa yang dicadangkan oleh pembelaan. Pembelaan juga tidak boleh menentukan bagaimana pendakwaan mengendalikan perbicaraan,” katanya, lapor Kosmo Online.

Pada 24 Mac lalu, Najib selaku pemohon memfailkan notis usul, antara lain meminta pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata bank dan lain-lain dokumen kepada pihak pembelaan, yang dipercayai berkaitan ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low dan anggota keluarga Zeti.

Pada 5 April lalu, pasukan pembelaan Najib sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs, yang dilaporkan antara lain mengatakan bahawa Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan Kerajaan Malaysia untuk membayar AS$2.5bilion (RM10.4bilion) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4bilion(RM5.8bilion) yang dirampas di seluruh dunia.

Ia sebagai balasan bagi Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Amerika itu.

Dalam afidavit disahkan oleh Najib, 68, bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.

Antara dokumen yang dipohon itu adalah daripada syarikat Aktis Capital Singapore Limited, Country Groups Securities Public Companies, ACME Time Limited (BVI), Butamba Investment Limited dan Central Holding Limited serta beberapa lagi dokumen berkaitan.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu