Nation
94

Najib mohon dapatkan sementara pasport untuk ke Singapura

Kuala Lumpur – Selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pasport Datin Seri Rosmah Mansor dipulangkan sementara untuk melawat anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua dalam tempoh dua minggu lagi, Datuk Seri Najib Tun Razak turut membuat permohonan sama di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Berdasarkan salinan dokumen yang diperoleh menerusi sistem kehakiman, dinyatakan bahawa bekas perdana menteri itu membuat permohonan untuk pasport antarabangsanya diserahkan secara sementara kepadanya bermula 20 Okt ini atau seawal yang mungkin sehingga 22 Nov 2021.

Najib memfailkan notis usul itu semalam (14 Okt) menerusi Tetuan Shafee & Co bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua dalam masa terdekat.

Dalam notis itu, Najib memohon untuk pasportnya diserahkan selewat-lewatnya pada 20 Okt ini bagi membolehkan beliau membuat pembaharuan pasport sebelum berangkat ke Singapura pada 3 Nov depan.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata anak perempuannya itu kini menetap di Singapura bersama suami dan anak sulungnya yang berusia empat tahun.

“Selain suami dan anaknya, Nooryana tidak mempunyai ahli keluarga lain di sana untuk membantu dan menemaninya sepanjang tempoh mengandung sehingga kelahiran tersebut.

“Saya bertanggungjawab untuk memastikan Nooryana dijaga rapi dan mendapat sokongan serta rawatan yang diperlukan memandangkan beliau pernah mengalami komplikasi yang serius semasa melahirkan anak pertamanya,” kata Najib dalam afidavit itu.

Najib berkata beliau juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana keluarga dan kerjayanya sebagai seorang bekas menteri dan menteri besar selain sumber pendapatan serta hartanya berada di Malaysia.

“Tambahan pula, saya sedang berada di bawah ikat jamin RM7 juta dan ia bukanlah jumlah yang kecil. Saya juga telah menghadiri kesemua tarikh perbicaraan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini,” katanya.

Peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib ketika dihubungi pemberita mengesahkan bekas perdana menteri itu telah memfailkan permohonan tersebut.

Berdasarkan hasil semakan di laman web kehakiman, permohonan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Isnin depan (18 Okt).

Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu