Nation
223

Najib tangguh ke Singapura

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak menangguhkan perjalanan ke Singapura bagi membantu jentera Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November ini.

Ia disebabkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ketika itu akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi sakit belakangnya.

Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama-sama notis usul terpinda, Najib berkata, beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajarnya ketika ketiadaan Ahmad Zahid.

Sehubungan itu, Najib memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober sehingga 22 November kepada 25 Oktober sehingga 6 Disember ini.

Pada prosiding hari ini, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah mengenai permohonan anak guamnya untuk meminda tarikh berkenaan, yang difailkan semalam.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, beliau perlu mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berhubung permohonan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan kemudian menangguhkan kepada 26 Oktober ini untuk mendengar permohonan Najib.

Najib, 68, dibicarakan di hadapan Mohamed Zaini atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.

Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua bulan hadapan.

Menurut afidavit sokongan itu lagi, Najib berkata, perancangannya berubah yang mana beliau akan bertolak ke Singapura pada 21 November dan pulang ke tanah air pada 5 Disember ini (atau lebih awal daripada tarikh berkenaan).

Kata Najib, pada masa sama, beliau akan memulangkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 6 Disember ini.

“Walaupun perancangan terpaksa diubah, namun alasan kepada permohonan pelepasan sementara pasport antarabangsa saya masih kekal sama.

“Dalam masa yang mana saya harus menjalankan tanggungjawab saya di Malaysia, saya meletakkan kepercayaan kepada isteri saya, Datin Seri Rosmah Mansor yang akan bertolak ke Singapura terlebih dahulu untuk mengawasi keadaan Nooryana sementara saya masih di Malaysia.

“Saya akan susuli jejak langkah isteri saya sejurus saya menyelesaikan tanggungjawab saya di sini terlebih dahulu,” katanya.

Pada Jumaat minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Rosmah untuk pasportnya dikembalikan sementara bagi tujuan sama bermula hari ini dan dipulangkan pada 21 November ini, lapor Harian Metro.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu