Nation
281

Najib tidak tahu RM42 juta daripada SRC : Peguam

Putrajaya – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu wang dalam akaun bank beliau dipindah masuk daripada SRC International Sdn Bhd.

Ini kerana bekas perdana menteri itu, pada sepanjang masa, percaya bahawa wang dalam akaun AmBank beliau merupakan baki daripada sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Peguam beliau Harvinderjit Singh berhujah demikian di hadapan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Kira-kira RM164 juta dipindahkan ke dalam akaun baharu beliau selepas akaun lama yang digunakan untuk menerima sumbangan ditutup pada Ogos 2013. Najib percaya wang itu merupakan sumbangan daripada Raja Arab Saudi.

“Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes itu berkata Najib semestinya tahu wang RM42 juta yang didepositkan ke dalam akaun beliau datang daripada SRC. Ini satu kekhilafan,” katanya.

“Hakim perbicaraan terkhilaf ketika menyamakan ‘pengetahuan’ selepas wang dipindahkan dengan ‘ketidakjujuran’. Elemen mens rea ’ketidakjujuran’ bagi pecah amanah adalah berdasarkan ‘niat’, bukan ‘pengetahuan’,” katanya.

Harvinderjit berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah orang yang memindahkan wang daripada SRC ke dalam akaun Najib tanpa pengetahuan Najib.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Harvinderjit berkata pendakwaan semasa menutup kes mereka hanya menunjukkan bahawa Jho Low mencampuri urusan akaun Najib.

Ketika ini Abdul Karim mencelah bertanya: Mengapa Jho Low yang tidak mempunyai sebarang kuasa, sibuk mengambil tahu (mengenai akaun Najib)?

Harvinderjit menjawab bahawa sejak 2011, wang diterima sebagai sumbangan derma daripada Arab, dan Jho Low, menerusi saluran bukan diplomatik, telah mengatur pertemuan di antara Raja Arab Saudi dan Najib pada 2010.

“Raja Arab Saudi menzahirkan sokongan agar Najib kekal berkuasa untuk memastikan Malaysia tidak jatuh ke tangan pihak ekstremis. Baginda memaklumkan akan menyokong Najib, walaupun baginda tidak nyatakan bahawa sokongan adalah dalam bentuk sumbangan derma,” kata peguam itu yang menambah beberapa bulan kemudian Jho Low yang memberitahu bahawa Raja Arab Saudi akan menyalurkan derma.

Harvinderjit berkata Najib kemudian membuka akaun semasa dan akaun simpanan di AmBank kerana beliau menjangka menerima hingga US$200 juta dalam bentuk derma daripada Arab Saudi.

Sebelum ini, Pengurus Cawangan AmBank Raja Chulan R. Uma Devi memberi keterangan bahawa berdasarkan rekod bank antara 2011 dan 2013, jutaan dolar Amerika Syarikat diremit ke dalam akaun Najib.

Turut didedahkan bahawa sejumlah RM304 juta didepositkan ke dalam akaun itu pada 2011, sebanyak RM756 juta pada 2012 dan RM1.9 bilion pada 2013.

Harvinderjit berkata pada 23 Ogos 2014, Najib memulangkan sejumlah RM2.034 bilion (US$620 juta) dan baki berjumlah RM164 juta dipindahkan ke akaun baharu beliau.

Pendengaran rayuan itu bersambung. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu