Nation
121

Neelofa selesai beri keterangan

Seremban – Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor selesai memberi keterangan selama sejam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) tidak memakai pelitup muka ketika hadir di Kompleks Mahkamah Seremban, Khamis lepas.

Noor Neelofa, 32, tiba di IPD Seremban ditemani suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail serta dua peguam kira-kira pukul 10.10 pagi tadi.

Ketika ditemui pemberita, Neelofa berkata kerjasama penuh telah diberikan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata sepanjang proses siasatan dijalankan, Neelofa memberikan kerjasama yang baik selain mematuhi SOP COVID-19 ditetapkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Mohd Said dalam kenyataan pada Jumaat, memaklumkan pihaknya menerima laporan terhadap Noor Neelofa yang tidak mematuhi SOP iaitu pemakaian pelitup muka seperti diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada orang ramai, termasuk mereka mengenakan niqab penuh atau separuh.

Ia susulan gambar kehadiran Neelofa ke kompleks mahkamah berkenaan yang tular di media sosial dan media tempatan pada Khamis telah mengundang pelbagai respons yang mendakwa dia tidak memakai pelitup muka walaupun mengenakan niqab.

Noor Neelofa dan Muhammad Haris ke kompleks mahkamah itu bagi menghadapi tuduhan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di sebuah kedai karpet, di Nilai pada 2 Mei lepas.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu