Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

NGO puji pendirian tegas PM Ismail Sabri mengenai isu global di UNGA

KUALA LUMPUR — Pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menyuarakan isu hak asasi manusia, khususnya di Palestin dan Myanmar semasa menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) ke-77 baru-baru ini mendapat pujian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Pengurus Jabatan Media dan Dokumentasi Aman Palestin Ismail Muhammad Juffri berkata ucapan Ismail Sabri jelas menunjukkan pendirian Malaysia yang konsisten menentang penindasan Zionis.

“Aman Palestin (juga) menggesa negara Islam yang lain di seluruh dunia seperti Indonesia untuk turut sama mendukung dan memperjuangkan pendirian kerajaan Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pengarah Eksekutif North South Initiative Adrian Pereira berkata beliau mengalu-alukan pendirian Malaysia terhadap isu yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri dengan mempamerkan solidariti yang berterusan dan kukuh untuk Palestin dan Myanmar.

“Kita (rakyat Malaysia) mesti terus memberikan kepimpinan dan hala tuju untuk masyarakat global dan kita mesti melaksanakan apa yang dikatakan kerana dunia sedang memerhati,” katanya.

Sementara itu, geostrategis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Azmi Hassan berkata ucapan Ismail Sabri itu tepat pada masanya, khususnya dalam isu Palestin.

Beliau berpendapat naratif perang kini dikawal oleh media Barat dan isu Palestin jarang dibawa oleh pemimpin di luar dunia Arab pada platform antarabangsa seperti UNGA.

Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama menyampaikan Kenyataan Negara pada perhimpunan antarabangsa itu dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan Malaysia.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata Malaysia kecewa dengan kependudukan Palestin secara kejam oleh Israel yang berlarutan sekian lama sehingga rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi rejim itu.

Beliau berkata Malaysia berpandangan kuasa-kuasa besar perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin.

Mengenai situasi di Myanmar, Ismail Sabri berkata amat penting kesemua negara mengambil tanggungjawab untuk menempatkan lebih banyak pelarian Rohingya di negara masing-masing. Katanya, krisis politik di Myanmar telah memburukkan lagi keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar termasuk pelarian etnik Rohingya.

Selain isu Palestin dan Myanmar, Ismail Sabri turut menyuarakan isu konflik Rusia-Ukraine, sekuriti makanan dan perubahan iklim selain mencadangkan penubuhan mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, lapor Bernama.

Perhimpunan kali ini ialah penampilan kedua Perdana Menteri di PBB, selepas menghadiri sesi ke-76 tahun lepas secara maya berikutan pandemik COVID-19.

Tags: , ,