Kuala Lumpur Post

Social

‘Niat nak bantu, tapi dibalas tembakan’ : Anggota Maritim

TAWAU — Niat asal memeriksa dan membantu sebuah bot seperti “tersadai” di perairan Kampung Pangi, Kunak, tetapi dibalas empat tembakan dari tekong.

Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zainal Abad Komel, 45, berkata kejadian itu berlaku pantas dan beliau tidak menjangkakan bot itu dinaiki penjenayah.

“Pada 8.30 pagi, kebiasaannya nelayan balik kampung, lagi pun lokasi ini di depan Kampung Pangi, biasanya orang kampung balik dari memancing, memukat…bot yang dihampiri dilihat membawa muatan ditutupi kanvas.

“Saya merapati bot itu, saya lihat suspek mengacu pistol tepat ke muka dan dua das tembakan dilepaskan, tapi saya sempat memaling muka sambil tekan pendikit bot menjauhi bot suspek,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan dua anggota Maritim Malaysia dalam tugasan Ops Khas Pagar Laut cedera ditembak, selepas menghampiri sebuah bot untuk melakukan pemeriksaan, yang melepaskan empat das tembakan.

Ekoran kejadian di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut, Kampung Pangi itu, Zainal cedera di mata kiri, manakala Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua tangannya.

Zainal berkata, tembakan kedua itu mengenai bawah mata dan darah memancut keluar.

“Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya, kalau saya elok hari ini, saya nak turun cari balik mereka,” katanya yang reda sebelah matanya buta kerana peluru terkena saraf mata.

Zainal yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, insiden itu julung kali dihadapinya sepanjang 19 tahun berkhidmat dengan Maritim Malaysia.

Prayrie pula berkata, ketika kejadian, hanya tekong bot memegang senjata dan melepaskan empat das tembakan ke arah bot maritim.

“Bot itu cuba memecut laju, tetapi saya juga melepaskan lima das tembakan ke arah bot itu, saya nampak dua orang rebah, tetapi saya tidak pasti sama ada rebah sebab terkena tembakan atau mengelak.

“Selepas saya melepaskan tembakan itu, bot (penjenayah) itu berhenti kira-kira dua minit, sebelum ada yang mungkin merangkak dan bot itu memecut laju,” katanya sambil menambah bot maritim tidak dapat mengejar bot penjenayah terbabit akibat faktor air surut.

Dalam kejadian itu, empat lagi anggota maritim yang bersama mereka dalam rondaan itu tidak cedera.