Politics
227

‘No BERSATU, No Anwar, No DAP’ : Zahid

Kuala Lumpur – UMNO menegaskan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini, tidak ada perbincangan berkaitan dengan mana-mana parti berkenaan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

“Perlu saya tegaskan di sini mengenai pendirian kita dalam menghadapi PRU-15. Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO… ‘No BERSATU, No Anwar, No DAP’.

“Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti terbabit sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini, hari ini.

Seterusnya, Ahmad Zahid berkata, BN sudah memutuskan untuk menghadapi PRU-15 secara bersendirian.

“Biar saya jelaskan ‘once and for all’, untuk UMNO menjadi dominan semula selepas PRU-15, pertamanya, kita mesti menang kerusi terbanyak.

“Kedua, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan, UMNO menolak pembelot dan pengkhianat kerana tidak mahu ‘makhluk perosak’ berkenaan memusnahkan parti.

Beliau berkata, UMNO tidak naif dan bukan ego, angkuh atau anak kecil yang boleh diperlakukan sembarangan.

“Sedarlah politik ini ditentukan oleh kluster rakyat, bukan kluster gila kuasa, broker, opotunis ataupun lompat pagar. Bukalah minda dan berfikir dua tiga tapak ke depan demi masa depan anak cucu kita.

“Ingatlah, Allah SWT sentiasa menguji kita sama ada sedar atau tidak. Allah juga menguji kita dengan kesusahan ketika 22 bulan PH (Pakatan Harapan) memerintah.

“Allah menguji kita dengan kekuasaan dan kesenangan apabila kita menjadi sebahagian daripada kerajaan. Namun, kita lebih mudah tewas kepada ujian kekuasaan dan kesenangan, berbanding ujian kesusahan,” katanya.

Ketika ini, Ahmad Zahid berkata, UMNO diasak dari luar dan dalam, malah usaha memecahbelahkan parti itu masih belum berhenti.

“Usaha memecahbelahkan UMNO dari luar masih belum berhenti. Adalah tanggungjawab kita semua untuk menjadi ‘lidi seikat’ yang mampu menyapu kotoran serta menghapuskan persepsi negatif terhadap UMNO dan kita semua.

“Akar umbi parti serta rakyat amat mendambakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi dominan semula.

“Kepemimpinan pada pelbagai peringkat perlu meraikan harapan ini dengan respons positif ke arah menjadikan ia suatu realiti,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu