Nation
988

Norhizam diminta segera pulangkan kereta rasmi, aset kerajaan

Melaka – Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee diminta memulangkan dengan segera kereta rasmi dan aset yang diamanahkan kepadanya sepanjang memegang jawatan itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Ts Kamel Mohamed berkata tindakan itu bertujuan menyelesaikan isu berkenaan agar tidak berlarutan sehingga mengganggu tugas penjawat awam.

Beliau berkata setakat ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron telah memulangkan kereta rasmi dan aset kerajaan negeri pada 7 Okt setelah meletak jawatan sebagai Exco.

“Bekas ADUN Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad, yang juga bekas Exco, pula memaklumkan akan memulangkan kereta dan aset terlibat pada Isnin ini. Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua bekas ADUN terlibat.

“Tindakan tersebut membantu penjawat awam di negeri ini memfokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan semula ekonomi negeri yang terkesan ekoran penularan COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut menyeru penjawat awam di negeri itu memberi fokus terhadap pelaksanaan projek yang sudah diluluskan agar dapat menjadikan Melaka sebuah negeri yang progresif, maju dan berdaya saing.

Isnin lepas, ketiga-tiga Exco serta bekas ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan mengumumkan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Okt lepas daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan UMNO hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu