Nation
64

NPRA belum lulus vaksin CanSino : Khairy

Alor Setar – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) setakat ini belum meluluskan vaksin COVID-19 jenis CanSino untuk dibawa masuk dan digunakan ke atas rakyat negara ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pada masa ini NPRA masih meneliti vaksin dari negara China itu sebelum boleh diberikan kelulusan.

“CanSino belum lagi mendapat kelulusan NPRA, mereka sedang menilai vaksin itu. Jadi, sehingga belum dapat kelulusan daripada NPRA dan dapat didaftar oleh NPRA, kita tidak boleh bawa masuk lagi CanSino.

“(Sebelum ini) kerajaan negeri Sarawak ada minta vaksin itu, saya beritahu kepada kerajaan Sarawak, apabila NPRA lulus, kita akan dapat beri CanSino kepada Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai status vaksin CanSino yang sebelum ini dimohon oleh kerajaan negeri Sarawak bagi kegunaan rakyat negeri itu.

Menurut Khairy, vaksin CanSino itu adalah dos tunggal yang amat sesuai disuntik kepada penduduk tinggal di kawasan pedalaman.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata secara keseluruhan pendaftaran penerima vaksin semakin meningkat, dan setakat ini jumlah mereka berusia 18 tahun ke atas yang sudah mendaftar hampir mencecah 40 peratus.

Beliau berkata jika usaha menggalakkan pendaftaran dipertingkatkan, jumlah yang mendaftar mungkin boleh mencapai sehingga 50 peratus dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

“Sasaran kita hendak sampai lebih 80 peratus, jadi ramai lagi perlu daftar. Tapi saya rasa ramai yang tunggu dan lihat.

“Sebenarnya, pelaksanaan fasa dua ini sangat penting, sebab kalau orang tengok warga emas dapat vaksin dan tidak ada apa-apa alahan teruk atau kesan sampingan, maka golongan muda akan rasa lebih yakin,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu