Nation
173

Omicron: Warga emas, individu komorbid disaran elak perjalanan ke luar negara

Putrajaya – Warga emas dan individu dengan komorbiditi disaran tidak membuat perjalanan ke luar negara buat masa ini dan mengelakkan kawasan awam yang sesak susulan kewujudan varian Omicron yang membimbangkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada masa sama turut menasihati rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara untuk sentiasa mematuhi amalan keselamatan COVID-19 terutamanya ke negara yang masih tidak melaporkan kewujudan varian berkenaan dan negara yang disenarai sebagai berisiko tinggi.

“Di Eropah contohnya, semakin longgar (prosedur operasi standard COVID-19), warganegara Malaysia yang ingin ke destinasi luar disaran terus mematuhi peringatan Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun berada di luar negara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia di dalam negara turut diingatkan untuk meningkatkan langkah pencegahan dan sentiasa mengamalkan TRIIS iaitu ‘Test, Report, Inform, Isolate dan Seek’.

Menyentuh mengenai perkembangan pemberian dos penggalak, Khairy berkata kehadiran untuk menerima dos penggalak menunjukkan perkembangan yang baik biarpun pada awalnya kehadiran janji temu dos penggalak tidak memberangsangkan.

Namun, Khairy berkata ada warga emas yang telah menerima vaksin Sinovac sebagai vaksin asal tidak hadir janji temu bagi dos penggalak.

“Diharap mereka segera dapat menerima dos penggalak, lebih-lebih lagi dengan perkembangan varian Omicron kini,” katanya.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman COVIDNOW, jumlah kumulatif dos penggalak kini sebanyak 2,457,510.

Beliau berkata KKM kini juga dalam proses memuktamadkan sistem ‘heightened alert’ yang berupaya mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 dalam negara, selain mengemas kini Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan varian Omicron.

Ketika ditanya mengenai penemuan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) tentang kemunculan varian baharu itu, Khairy berkata institut itu akan terus menerima data mengenai penjujukan genom dari negara lain mengenai varian itu.

“Jadi, dengan penjujukan genom ini, kita akan dapat mengesan Omicron dengan cepat melalui ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan membolehkan kita memberikan diagnosis yang lebih baik,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu