Social
812

Op Noda : 17 individu termasuk 8 remaja ditahan

Melaka – Sebanyak 17 individu termasuk lapan remaja ditahan kerana menganjurkan parti persendirian dalam serbuan menerusi Op Noda di dua unit kondominium di Jalan Persisiran Bunga Raya di sini, malam tadi.

Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata dalam serbuan pada kira-kira 11 malam itu, kesemua tahanan terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita itu berusia 17 hingga 35 tahun.

Beliau berkata kedua-dua unit kondominum berkenaan diserbu pegawai dan anggota dari Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Jabatan Siasatan Jenayah ibu pejabat Polis Melaka hasil maklumat awam.

“Masing-masing sembilan dan lapan individu ditahan di dalam unit kondominium berlainan ketika sedang berdisko dan minum minuman keras.

“Ketika serbuan dilakukan, parti berkenaan dipercayai baru bermula pada kira-kira 9 malam dan setiap unit kondominum itu disewa pada kadar RM450 semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata saringan air kencing ke atas semua individu yang ditahan mendapati seorang daripada mereka iaitu remaja berusia 19 tahun dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan Negeri Melaka dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan semua individu terlibat yang tinggal di Melaka dilepaskan dengan jaminan polis.

Mohd Sukri berkata kesemua individu terlibat juga dikompaun sebanyak RM51,000 kerana melanggar prosedur operasi standard COVID-19 di bawah Peraturan 16 PU(A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

Dalam pada itu, beliau berkata Polis Melaka sentiasa memantau sebarang aktiviti ‘private party’ dan tidak bermoral yang diadakan secara haram di negeri itu dan tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang terlibat, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu