Nation
1K

Op Patuh besar-besaran bermula esok : Hamzah

Putrajaya – Pihak berkuasa akan menjalankan Operasi Patuh (Op Patuh) secara besar-besaran dan bersepadu esok, dengan tumpuan ke atas negeri-negeri yang masih mencatatkan jangkitan harian COVID-19 yang tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata operasi itu yang melibatkan semua agensi berkaitan dan diketuai oleh ketua polis daerah, akan menyasarkan kawasan perindustrian termasuk tempat penginapan pekerja yang berisiko tinggi berdasarkan pemetaan yang dibuat sebelum ini.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP serta arahan kerajaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan akta-akta sedia ada yang lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 (JKPS).

Beliau berkata majikan yang didapati melanggar SOP Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara akan diambil tindakan tegas.

Ini kerana menurut Hamzah pihak berkuasa menerima maklumat ada majikan tidak melaksanakan kuarantin ke atas pekerja yang menjadi kontak kepada kes positif.

“Banyak tangkapan di Selangor dan Kuala Lumpur ini, apabila kita tanyakan, sesetengah daripada pekerja ini maklumkan kepada kita kawan dia dah kena COVID-19 tetapi yang lain tidak dikuarantin.

“Semua maklumat ini kita ambil dan kita buat esok dan kita tangkap dengan majikan sekali kerana bukan hanya telah melakukan kesalahan tetapi mereka benar-benar menzalimi pekerja-pekerja mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Op Patuh besar-besaran itu, Hamzah berkata pihak berkuasa akan menggerakkan aset strategik seperti helikopter dan dron serta mengadakan sekatan jalan raya bergerak bagi mengelakkan pekerja melarikan diri.

“Selalunya bila kita masuk pintu depan, dia (pekerja) akan keluar ikut pintu belakang. Jadi dengan adanya helikopter dan dron ini kita dapat melihat keseluruhan kawasan berkenaan,” katanya.

Mengenai Op Patuh dalam tempoh 25 hingga 30 Jun lepas, beliau berkata sebanyak 126,207 premis seperti kilang, asrama pekerja dan premis perniagaan telah diperiksa.

Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 602 kompaun telah dikeluarkan terhadap kilang dan premis, manakala 60 premis telah diarahkan tutup, katanya.

Dalam tempoh 1 hingga 28 Jun lepas pula, seramai 744 pendatang tanpa izin ditahan melalui 169 operasi di seluruh negara, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu