Social
236

Operasi Bersepadu : Lebih 300 PATI ditahan

Dengkil – Seramai 309 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan ke atas kawasan penempatan di sebuah tapak pembinaan, di sini, awal pagi tadi.

PATI meliputi 280 lelaki dan 29 wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu adalah sebahagian daripada 715 individu diperiksa dalam operasi bersepadu terbabit.

Mereka terdiri daripada 193 warga Indonesia, Bangladesh (102), Myanmar (lapan), Vietnam (empat) dan India (dua).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata terdahulu pihaknya menerima maklumat awam mendakwa tempat tinggal terbabit dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menyerbu kawasan berkenaan dan mendapati ia tidak mematuhi SOP PKP yang ditetapkan.

“Saya tiba bersama pasukan operasi sebelum mendapati penempatan mereka begitu padat, kotor dan tiada sistem saliran perparitan yang lengkap, selain mempunyai tempat untuk berkumpul serta makan secara beramai-ramai.

“Hasil temu bual saya dengan mereka, pendatang terbabit juga mengaku tinggal beramai-ramai dalam sesebuah bilik, iaitu sekitar empat hingga tujuh orang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut mengenai ada wanita Indonesia dikesan tinggal bersama pasangan pula, Khairul Dzaimee berkata, suami mereka dipercayai masuk terlebih dahulu untuk bekerja di Malaysia.

“Wanita warga Indonesia terbabit memasuki Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial dan terus tinggal melebihi tempoh ditetapkan. Mereka juga tinggal bersama suami yang bekerja secara haram di negara ini.

“Semua PATI berkenaan akan menjalani ujian saringan COVID-19, hari ini, yang dijalankan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan PKD Seremban,” katanya.

Selepas ujian saringan itu, beliau berkata, kesemua mereka akan ditahan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, sebelum proses pengusiran ke negara masing-masing dilakukan.

Dalam operasi itu, katanya, 10 warga Rohingya bersama kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), turut diperiksa.

“Dua daripada mereka ditahan kerana didapati memiliki kad UNCHR palsu, manakala yang lain dibebaskan,” katanya.

Operasi bersepadu bermula jam 12.30 tengah malam dan berakhir jam 2.30 pagi tadi itu disertai 189 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan, termasuk Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Tenaga Kerja serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Khairul Dzaimee memaklumkan, operasi itu selaras arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya Imigresen turut membantu usaha mengurangkan kes positif COVID-19 di tempat kerja warga asing. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu