Social
220

Operasi hari kedua keluarkan mayat pencari emas ditangguh

Bau – Operasi untuk mengeluarkan mayat seorang lelaki tertimbus dalam terowong yang digalinya untuk melombong emas di dalam sebuah gua di kaki Gunung Tabai di Jalan Taiton di sini yang masuk hari kedua hari ini ditangguhkan pada jam 6.30 petang tadi berikutan keadaan gelap dan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) keletihan.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Khirudin Drahman yang berada di lokasi kejadian, mengesahkan penangguhan operasi itu dan berkata keputusan tersebut dibuat selepas pasukan SAR berbincang dengan polis dan keluarga mangsa, Martin @ Mat Tapa, 25.

“Operasi (SAR) ditangguhkan hingga esok selepas perbincangan bersama polis, Bomba dan Penyelamat serta keluarga mangsa. (Operasi SAR) akan disambung semula jam 8.00 pagi esok,” katanya dalam mesej melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tawang Lingem berkata mayat mangsa tidak dapat dikeluarkan disebabkan kaki kanan, bahu dan kepalanya masih tersangkut di bawah runtuhan batu.

Menurutnya operasi hari ini disertai 12 anggota bomba, empat anggota polis, enam pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak serta 60 penduduk kampung. Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon turut berada di tempat kejadian.

Sementara itu, keluarga mangsa amat mengharapkan mayat lelaki itu dapat dikeluarkan segera agar boleh disemadikan.

Abang mangsa, Suut Tapa, 33, dan kakaknya Preshilla, 26, ketika ditemui Bernama di tempat kejadian berkata ibu bapa mereka amat mengharapkan pasukan SAR berjaya mengeluarkan mayat adiknya itu.

Suut berkata dia bersama pasukan anggota SAR memasuki terowong yang runtuh itu semalam dan turut mengambil keratan baju adiknya untuk dibawa pulang untuk diserahkan kepada ibu bapanya.

“Kalau tidak dapat dikeluarkan kami pasrah mayat adik kami itu disemadikan di sini (Gua Gunung Tabai),” kata Suut.

Sementara itu, lokasi kejadian terus menjadi tumpuan ahli keluarga, sanak saudara, rakan serta tunang mangsa dengan harapan mayat mangsa dapat dikeluarkan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu