Social
229

Operasi keluarkan mayat pencari emas diteruskan

Bau -.Operasi untuk mengeluarkan mayat lelaki yang tertimbus dalam sebuah lubang ketika melombong emas secara haram di Gunung Tabai di sini yang disambung semula pagi tadi berdepan cabaran apabila lokasi mayat ditemukan semalam didapati tertimbus lagi oleh batu yang runtuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau Tawang Lingem berkata lubang atau terowong yang digali mangsa sendiri didapati tertimbus lagi pagi ini dan bomba terpaksa memanggil abang mangsa yang membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan mayat mangsa semalam, untuk mengenal pasti lokasi terowong itu.

Mat Tapa, 25, dari Kampung Bijure di sini, ditemukan tertimbus di bawah runtuhan batu di gunung itu oleh pasukan SAR kira-kira 4.30 petang semalam.

Mangsa dipercayai tertimbus di dalam terowong yang digalinya sendiri dengan tujuan untuk mencari emas di dalam gua itu, sementara dua lagi rakannya yang turut terperangkap dalam celahan batu yang runtuh berjaya diselamatkan dalam kejadian yang berlaku pagi semalam.

Tawang berkata lokasi mangsa ditemukan semula kira-kira 12.10 tengah hari tadi dan tiga anggota yang memasuki terowong berkenaan telah diarahkan keluar semula kerana tidak yakin dengan kestabilan tanah dan batu di sekitar kawasan itu.

“Gerakan untuk mengeluarkan mayat akan dilakukan jika keadaan diyakini selamat,” katanya kepada Bernama.

Difahamkan, tiga lelaki itu pergi ke Gunung Tabai sejak Selasa lepas untuk melombong emas di dalam gua di kaki gunung dan mereka dikatakan menggali terowong yang dianggarkan sedalam 80 meter dan struktur terowong itu tidak stabil menyebabkan kerja-kerja menyelamat agak sukar.

Gua itu adalah kawasan larangan selepas beberapa insiden kemalangan membabitkan pencari emas berlaku sebelum ini.

Sementara itu, operasi menyelamat yang disambung sejak 8 pagi itu disertai 14 anggota bomba dan penyelamat, empat anggota polis, lapan pegawai Jabatan Hutan Sarawak dan 93 penduduk kampung. Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon turut berada di lokasi kejadian. — Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu