Social
171

Operasi keluarkan mayat tersepit selesai

Kuala Lumpur – Mayat pekerja warga asing yang sebelum ini dilaporkan tersepit di antara komponen kren dan struktur binaan di projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, Cheras di sini sejak kelmarin telah berjaya dikeluarkan pada pukul 3.57 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, beliau bersama dua anggota bomba telah naik ke atas struktur tersebut pada pukul 2.57 pagi untuk membuat penilaian risiko sebelum pasukan kedua naik dan memulakan kerja mengeluarkan mayat mangsa.

“Pada pukul 3.09 pagi, tiga anggota bomba telah naik ke atas struktur dengan memakai pakaian pelindungan diri (PPE) dan memulakan kerja mengeluarkan mayat mangsa tersepit yang mengambil masa hampir 30 minit.

“Pasukan penyelamat mengambil keputusan tepat untuk mengeluarkan mayat mangsa di saat ini berikutan keadaannya yang sudah mula mereput selepas hampir dua hari tersepit di antara komponen kren dan struktur berkenaan,”katanya ketika ditemui di lokasi operasi hari ini.

Menurut Nordin, pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa tersepit itu berikutan keadaan struktur yang tidak stabil.

“Kami terpaksa mengambil masa lebih daripada sehari untuk menstabilkan struktur berkenaan terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan anggota pasukan penyelamat sebelum kerja-kerja membawa mayat turun dapat dilakukan.

“Mayat mangsa yang telah berjaya dibawa turun seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi menyelamat oleh pihak bomba tamat sepenuhnya,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika ditemui berkata, mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk dibedah siasat.

“Bedah siasat akan dilakukan ke atas mayat mangsa untuk mengenalpasti punca kematian dan lokasi kejadian kini diserahkan kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk siasatan lanjut,” jelas beliau.

Dalam pada itu, jurucakap JKKP Kuala Lumpur mengesahkan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

“Ketika ini segala operasi telah dihentikan buat sementara waktu jadi siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang pelanggaran perundangan dan elemen lain yang menjadi punca kejadian akan dimulakan oleh pihak kami kira-kira pukul 9 pagi hari ini,” katanya. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu