Nation
109

Operasi LRT laluan Kelana Jaya pulih sepenuhnya

Kuala Lumpur – Operasi Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pulih sepenuhnya selepas pembaikan landasan selesai dijalankan pada jam 3.45 petang, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia selepas Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memberi kelulusan untuk dua landasan itu digunakan sepenuhnya.

“Pasukan pemulihan Rapid Rail Sdn Bhd dengan kekuatan 367 kakitangan bekerja tanpa mengira penat lelah bagi memastikan landasan dapat digunakan secara optimum.

“Dengan pemulihan ini, tren LRT sudah boleh mula bergerak mengikut frekuensi sebenar berbanding sebelum ini berikutan penutupan bekalan kuasa dan masih terdapat satu landasan ditutup selepas kejadian,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Krisis di Stesen LRT KLCC, hari ini.

Wee berkata, kos baiki dan selenggara landasan serta tren akan ditentukan dan ditanggung pihak Prasarana yang akan berurusan dengan pihak insurans untuk tindakan lanjut.

“Dalam hal ini, kita perlu pulihkan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Kita kena memberi keutamaan dan kepentingan kepada keperluan pengguna perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya juga memberi jaminan keselamatan terhadap penumpang yang menggunakan perkhidmatan terbabit.

“Kita amat mementingkan aspek keselamatan penumpang dan sentiasa memperbaiki kelancaran operasi bagi memudahkan semua pihak,” katanya. – Harian Metro

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu