Social
377

Ops Sarang : Pemandu ambulans, penghantar makanan antara ditahan

Georgetown – Polis menahan 62 individu termasuk seorang pemandu ambulans Kementerian Kesihatan dan seorang penghantar makanan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah menerusi Ops Sarang di sekitar Pulau Pinang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 3 petang semalam menggempur kawasan tumpuan penagih dadah antaranya Sungai Nibong, Bandar Baru Air Itam, Pulau Tikus, Tanjung Tokong dan sekitar George Town.

“Pemandu ambulans berusia 53 tahun dan penghantar makanan berusia 39 tahun itu ditahan di kawasan parkir bas kilang di Paya Terubong, di sini.

“Ketika ditahan, kedua-dua lelaki itu sedang membeli dadah daripada seorang pembekal iaitu seorang lelaki berusia 30-an yang turut ditahan dalam operasi sama,” katanya pada sidang media di sini.

Mustafa Kamal Gani berkata daripada 59 lelaki dan tiga wanita berusia 21 hingga 60 tahun yang ditahan itu, lapan didapati pengedar dadah manakala memiliki dadah dan penagih, masing-masing 27 individu.

Beliau berkata kesemua mereka didapati positif terhadap dadah dan pihaknya turut merampas heroin seberat 400.38 gram, syabu (16.68 gram) serta ketamin (0.67 gram) bernilai RM15,770.

“Siasatan mendapati kebanyakan mereka terutama penagih dadah, pernah ditangkap beberapa kali kerana kesalahan sama,” katanya.

Sementara itu, Mustafa Kamal Gani berkata pihaknya menahan 6,597 individu terdiri daripada 1,723 pembekal dadah, 3,594 individu memiliki dadah dan 1,280 penagih tegar menerusi operasi pencegahan penyalahgunaan dadah sejak Januari lepas hingga kini.

Menurutnya, 480 penagih dadah tegar turut ditahan dalam tempoh sama menerusi 27 Ops Sarang yang dilakukan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu