Social
299

“Orang boleh cakap macam-macam, mereka tiada dalam situasi kami”

Kota Bharu – Peniaga burger dan isterinya yang dikompaun RM50,000 kesal dengan tindakan netizen yang melemparkan pelbagai tohmahan selepas gambar kehidupan peribadi mereka tular di laman sosial Facebook, sejak semalam.

Wan Mohd. Faisal Wan Kadir, 37, dan isterinya, Noralili Shafii, 36, mengakui bahawa gambar bersama sebuah kereta Honda Civic itu sememangnya kereta milik mereka yang dibeli beberapa tahun lalu.

Noralili berkata, selain itu, gambar suami makan hidangan daging wagyu di sebuah restoran di sini pula berlaku pada hujung tahun lalu.

“Kami pergi ke restoran itu bersama 10 orang ahli keluarga yang lain. Ketika itu, adik saya yang sedang mengandung mengidam untuk makan daging wagyu. Jadi, kami sekeluarga pergi ke sana.

“Bil makanan berharga hampir RM900 yang tular itu pula dibayar secara berkongsi beramai-ramai. Bukan suami saya yang bayar seorang,” katanya ketika dihubungi  di sini hari ini.

Jelasnya, dia mengakui bahawa kereta jenis Honda Civic yang dimiliki merupakan hasil usaha mereka berniaga sejak lebih 16 tahun lalu.

Katanya, bukan hanya menanggung keluarga, suaminya juga perlu menyara ibu dan anak-anak saudara.

“Saya dan suami reda dengan kecaman netizen. Orang boleh cakap macam-macam tetapi mereka tiada dalam situasi kami.

“Bukan senang untuk menjalankan perniagaan sehingga mendapat banyak tempahan dan maju seperti hari ini. Saya akui bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini menyebabkan perniagaan kami terjejas teruk,” katanya.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu menerima kecaman hebat daripada netizen apabila tular gambar mereka bersama sebuah kereta dan makan hidangan wagyu di sebuah restoran.

Perkara itu berlaku apabila Wan Mohd. Faisal meminta belas ihsan pengurangan kompaun RM50,000 yang diterimanya selepas didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP apabila menjalankan perniagaan melebihi pukul 10 malam. – Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu