Social
247

Orang tengah pegawai kanan MBJB ditahan SPRM

Johor Bahru – Seorang pesara yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada pegawai kanan di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk mendapatkan wang rasuah, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor Cawangan Kluang di sini, malam tadi.

Menurut sumber, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 9 malam bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Sumber berkata hasil siasatan mendapati lelaki itu ketika bekerja sebagai penjawat awam, telah bertindak sebagai orang tengah kepada pegawai kanan MBJB itu bagi mendapatkan wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan meluluskan kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor bagi projek-projek yang dikeluarkan oleh pihak MBJB pada 2020 dan 2021.

Siasatan ke atas lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan permohonan reman ke atas lelaki berkenaan akan dibuat di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Pada 10 Ogos lepas, seorang pegawai kanan di MBJB ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor ketika berkhidmat di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu