Nation
218

PAC perkenal Mesyuarat Pra Prosiding

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperkenalkan Mesyuarat Pra Prosiding bagi membolehkan Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid memberikan penjelasan mengenai perkembangan terkini isu yang disiasat di bawah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata pengenalan mesyuarat itu bermula hari ini dengan Nik Azman memberikan penjelasan terkini berkaitan prosiding membabitkan Amanah Raya Berhad di bawah Kementerian Kewangan serta prosiding berhubung Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia.

“Melalui mesyuarat ini, ahli-ahli PAC diberikan gambaran jelas serta perkembangan terkini berhubung prosiding yang akan diadakan sekali gus memastikan segala fakta serta maklumat yang diperoleh Jawatankuasa ini sentiasa tepat,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata Isu Amanah Raya Berhad dilaporkan dalam LKAN 2019 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 7 Nov 2020 manakala isu Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia dibentangkan di Parlimen pada 14 Julai 2020.

“Dalam prosiding Amanah Raya Berhad, sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidon hadir bersama Azmeen Adnan bagi memberikan penjelasan terhadap segala isu yang dibangkitkan LKAN 2019 Siri 1.

“Dua saksi dipanggil bagi prosiding berhubung Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia iaitu Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Majlis Keselamatan Negara Datuk Jamil Rikon, serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Dahlan Abdul Aziz yang mengawal selia Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin memberikan penjelasan berhubung isu-isu yang dibangkitkan Ketua Audit Negara,” katanya.

Wong berkata beliau yakin dengan pengenalan mesyuarat pra prosiding itu, ia akan menjadikan urus tadbir PAC lebih tersusun selain memastikan kredibiliti serta integriti jawatankuasa sentiasa dihormati oleh semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya kedua-dua laporan mengenai Amanah Raya serta Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia dijangka dapat dibentangkan di Parlimen dalam sesi persidangan Oktober akan datang selepas PAC memuktamadkan rumusan dan cadangannya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu